Baru-baru ini, seorang gadis dari Malaysia tular di laman sosial berikutan video ucapannya di majlis graduasi di Universiti Wisconsin Madison, Amerika Syarikat(AS), mendapat perhatian warga laman sosial.

Gadis tersebut, Lisa Nur Marini Mohd Kamal, 22 tahun, merupakan seorang pelajar bidang Geologi di universiti berkenaan berucap sambil menceritakan perjalanan hidupnya sepanjang belajar di sana.

Difahamkan, Lisa terpilih menjadi wakil graduan universiti bersempena hari graduasi dan dia memberi ucapan di hadapan 7,000 penonton yang hadir semasa hari graduasi itu berlangsung.

Menurut penerima biasiswa Petronas itu, Lisa mendedahkan bahawa dia pernah melalui kesukaran hidup apabila berada di tahun kedua belajar.

“Tahun kedua saya di kolej, saya menghadapi beberapa kesukaran sehingga hilang motivasi untuk menghabiskan ijazah ini,” ujarnya.

“Saya masih ingat ketika berusia enam tahun, saya menangis ketika beraksi di atas pentas kecil, namun kini pada usia 22 tahun, saya diberi peluang untuk berucap di hadapan khalayak ramai. Ia sangat menakjubkan,” jelasnya.

“Saya tidak dapat menghabiskan pelajaran ijazah ini tanpa rakan-rakan yang ada di sini,” katanya.

malaysia.news.yahoo.com

Selain itu, Lisa juga pernah dianugerahkan Biasiswa Junior Lowell R. Laudon Cemerlang dari Jabatan Geosains dan anugerah “On To the Future” daripada Persatuan Geologi Amerika.

Malah, seorang profesor di Jabatan Geosains, Laurel Goodwin, menceritakan bagaimana Lisa memilih untuk mengambil kursus peringkat siswazah yang sangat mencabar dalam analisis mikropro elektron, lapor portal University of Wisconsin Madison.

Untuk pengetahuan anda, gadis berasal dari Kuala Lumpur itu sebenarnya dilahirkan di AS semasa kedua ibu bapanya belajar di sana dan kemudiannya barulah dia dibesarkan di Malaysia.

Sumber: Oh Bulan