Hidayah itu datang tanpa diduga dan paksaan daripada sesiapa. Jikalau seseorang itu sudah dipilih oleh-Nya sebagai insan bertuah menerima hidayah tersebut, maka terimalah dengan hati terbuka. Gadis warganegara Italy telah menerima hidayah dan merupakan seorang Atheist sebelum ini.

Baru-baru ini, telah tular kisah seorang penuntut di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang bernama Giovanna Wolswijk dimana dia telah mengucapkan dua kalimah syahadah di Masjid Syahadah di universiti terbabit

Dia telah melafazkan dua kalimah syahadah pada 18 Jun 2019 tepat jam 5.20 pm sambil disaksikan oleh pensyarah, teman-teman serta jemaah Masjid.

Giovanna, penuntut Ijazah Sarjana (Master) di Instutut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) di UMT itu menyatakan dia mula tertarik dengan Islam sejak Februari lalu sebelum mengkaji agama Islam dengan lebih mendalam melalui rakan dan ahli agama.

“Hati saya tersentuh setiap kali mendengar alunan Al-Quran daripada pembesar suara masjid UMT, sekali gus membuka hati saya mendalami Islam,” katanya kepada Harian Metro.

Gadis berusia 24 tahun itu berkata lagi, dia mula menyesuaikan diri dengan memberi salam kepada rakan-rakan yang lain selain belajar untuk mengucap dua kalimah syahadah sebelum benar-benar melafazkan kalimah berkenaan.

Tambah Giovanna, proses pengislamannya berjalan lancar melalui Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) yang banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar sejak dia mengutarakan hasratnya untuk memeluk Islam.

“Perasaan saya sangat tenang sebaik mengucap dua kali syahadah dan teruja bergelar saudara baru,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Pengarah PISM, Dr Riswadi Azmi berkata, PISM UMT akan memberi tumpuan kepada saudara baru dengan sumbangan awal zakat bernilai RM1,000 dan sumbangan zakat berterusan setiap semester bernilai RM700 sehingga tamat pengajian.

Bukan itu sahaja, PISM turut melantik pegawai angkat kepada Giovanna untuk bimbingan berterusan dan mengadakan kelas ‘Sharing Islam Class’ yang diadakan setiap minggu di PISM, UMT

“Kami membuka seluasnya ruang dan peluang kepada masyarakat bukan Islam untuk mengenali dan mendalami Islam sebenar dengan mengunjungi PISM dan sedia membantu sekiranya memerlukan bantuan dan penjelasan mengenai Islam,” katanya.

Sumber: SAYS