Seorang gadis berasal dari Ipoh, Perak, Rabiatul ‘Adawiyah Shamsul Annuar, 20 tahun, masih berusaha mencari ibu kandungnya, Nor Asnidal Md Noor, yang terpisah sejak 14 tahun lalu.

“Ini percubaan kedua saya mencari mak menggunakan media sosial selepas pernah mencubanya tahun lalu. Tengok kawan-kawan pun rapat dengan mak, tipulah kalau saya tidak pernah rasa sedih dan kecewa,” luahnya.

Berikutan satu tweet daripada akaun Twitter miliknya, kisah Rabiatul yang sedang mencari ibunya mulai tular di Twitter, baru-baru ini.

“Kali terakhir jumpa mak pada usia 6 tahun dan dapat berhubung dengannya kira-kira 10 tahun lalu apabila saya pulang ke kampung mak di Batu Kurau,” ujarnya.

“Saya dapat nombor telefon dari saudara mara mak yang ditemui di sana. Selepas beberapa kali cuba menelefon berpandukan beberapa nombor diberikan, akhirnya saya dapat bercakap dengannya,” katanya.

“Ketika itu, mak mendakwa berada di Melaka dan akan ke Sabah atas urusan kerja. Selepas itu, kami terus terputus hubungan kerana arwah nenek tidak membenarkan saya mencarinya lagi,” jelasnya.

Selepas neneknya meninggal dunia pada Ramadan tahun lepas, barulah Rabiatul mendapat keberanian mencari ibu kandungnya itu menggunakan media sosial.

“Syukur ramai yang cuba membantu, termasuk ada yang menawarkan bantuan mencari maklumat berkaitan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” sambungnya.

Menurutnya, setakat ini dia hanya mempunyai nama penuh ibu, nombor kad pengenalan lama, selain beberapa keping foto ibunya dalam simpanan peribadi.

Dia berharap usaha kali ini membuahkan hasil apatah lagi bapanya turut merestui proses pencarian dengan membantu mencarikan wanita itu di laman sosial Facebook. Semoga Rabiatul dapat berjumpa dengan ibu kandungnya tidak lama lagi 🙂

Sumber: Harian Metro