Ketua Wanita Umno Bahagian Jasin, Datuk Zaleha Bujang, sanggup memberi sumbangan gelang emas demi untuk membantu membebaskan bekas perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak.

Difahamkan, Tabung Solidariti Bebaskan Najib yang diwujudkan oleh Pemuda Umno Wilayah Persekutuan telah mendapat kutipan sebanyak RM86,282 setakat petang Jumaat tadi.

Melalui video dimuatnaik oleh Zaleha di akaun Facebook miliknya, kelihatan dia menyerahkan seutas gelang emas untuk didermakan kepada tabung tersebut.

“Saya fikir tiba masanya ahli Umno berkorban. Kita tahu Datuk Seri Najib Razak teraniaya, jadi ini merupakan usaha kita untuk membantu beliau,” katanya sambil menambah inilah caranya untuk mengenang jasa Najib.

Fb Zaleha Bujang

“Gelang ini saya beli sekitar tujuh atau lapan tahun lepas. Walaupun sayang, saya ikhlas membuat sumbangan,” ujarnya.

“Wanita-wanita menghulurkan barang kemas masing-masing untuk bantu Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj. Saya fikir kenapa saya tak boleh buat begitu juga,” jelasnya sambil teringat peristiwa semasa menuntut kemerdekaan dahulu.

Selain itu, Zaleha turut menyumbangkan wang tunai untuk tabung itu, tetapi dia merahsiakan jumlah sumbangan yang diberikannya itu.

Sumber: mStar