Festival Songkran merupakan satu festival tahunan yang terkenal di seluruh dunia yang melibatkan keseronokan bermain air. Namun pada tahun ini, festival itu terpaksa dibatalkan dan warga setempat akan menyambutnya secara sendiri tanpa ada penganjuran rasmi.

Penganjuran Festival Songkran, yang sering menarik perhatian pelancong antarabangsa untuk ke ibu negara Thailand khususnya di beberapa lokasi penting, tahun ini hanya akan disambut pada skala yang sangat kecil.

Media tempatan melaporkan, semua itu kerana pihak berkuasa tidak mahu sambutan tersebut bertembung dengan persiapan pertabalan raja baharu Thailand.

Gambar: The Phuket News

Thailand menyambut Songkran berdasarkan kiraan takwim tradisionalnya, dari 13 hingga 15 April. Ketika itu, orang awam akan menyimbah air antara satu sama lain di bawah kehangatan sinaran matahari.

Festival itu selalunya diadakan di kawasan popular dalam kalangan pengembara backpacker, Khaosan Road, di Bangkok dan menyaksikan acara sambutan Songkran yang luar biasa, termasuk penaja-penaja yang menyediakan bekalan air tanpa had dan pelbagai kelengkapan untuk menembak air.

Gambar: Klook

Namun, sambutan besar-besaran Songkran di Khaosan telah dibatalkan kerana istiadat rasmi pertabalan Raja Maha Vajiralongkorn akan berlangsung pada 4 hingga 6 Mei. Satu lagi lokasi yang lazimnya terdapat sambutan meriah, iaitu di Silom Road, juga tiada penganjuran pada tahun ini.

Majlis bandar raya juga telah mengeluarkan arahan tentang pembatalan penganjuran di dua lokasi utama itu, termasuk peringatan supaya mereka yang masih mahu menyambutnya secara bersendiri, agar tidak boleh menggunakan pistol air tekanan tinggi, mengambil minuman keras, mahupun mengadakan persembahan hiburan umum.

“Pihak berkuasa sedang membuat persiapan untuk istiadat pertabalan itu dan kami kita terletak di tengah-tengah kawasan utama di Bangkok. Jika kami meneruskan festival itu, ia akan menimbulkan kekecohan,” ujar Pengerusi Persatuan Peniaga Khaosan Road, Piyabutr Jiwaramonaikun.

Walau bagaimanapun, kedai-kedai akan meneruskan operasi seperti biasa namun mereka tidak akan memberikan bekalan air percuma dan serbuk warna seperti selalu.

“Para pelancong dan warga tempatan bagaimanapun masih boleh menyambut Songkran secara kecil-kecilan di kawasan itu, namun peniaga-peniaga tempatan tidak akan menganjurkan sebarang acara besar,” ujarnya.

Pihak berkuasa Bangkok telah menjalankan kerja-kerja berkaitan istiadat pertabalan di sekitar kawasan Khaosan, termasuk membaik pulih jalan raya dan kawasan siar kaki, mengecat bangunan dan mengemas kini kabel elektrik.

“Tahun ini, sedikit saja yang akan menyambut Songkran, namun istiadat pertabalan raja akan menjadi acara besar yang akan disertai rakyat Thailand keseluruhannya dan kita semua perlu berkorban,” ujar Piyabutr.

Sumber: Awani