Dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma (SMKSA), Alor Setar menjadikan aplikasi FaceTime sebagai alternatif untuk mengulang kaji pelajaran bersama rakan-rakan sehingga memperoleh keputusan cemerlang semua A dalam keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diumumkan pada Khamis.

Nur Syaza Edrina Mahamad Zaki, 15, menggunakan aplikasi FaceTime untuk membuat ulang kaji berkumpulan bersama rakan-rakanya dengan membincangkan soalan yang diberi guru.

“FaceTime ini selalunya bincang homework yang cikgu bagi. Selalunya pakai lepas Isyak, kadang-kadang dua tiga jam jugalah bincang sampai pukul 11 macam tu, dalam tiga ke empat orang macam tu, mula sejak awal tahun lagi berbincang macam tu,” kata Nur Syaza Edrina.

Bagi rakan Sofea Irdenna Annuar, komitmen yang diberikan oleh semua rakannya ketika mengulang kaji melalui FaceTime memberi impak positif. Menurutnya juga, kesemua mereka memiliki kelebihan dalam subjek yang berbeza dan mereka sedia mengajar rakan lain terutama dalam subjek yang sukar.

“Selalunya buat empat orang, memang semua orang bagi komitmen yang sama. Kalau macam yang ni tak faham Sains, ada yang tolong. Masing-masing ada kemahiran sendiri,” kata Sofea Irdenna.

Ibu-bapa kedua-dua pelajar tersebut juga bersyukur dan gembira dengan pencapaian anak-anak mereka dalam Ujian PT3. Pada awalnya mereka agak janggal melihat tindak-tanduk anak mereka seperti bercakap sendirian di dalam bilik, namun jelas jika teknologi digunakan dengan sebaiknya, ia mampu memberi manfaat yang besar.

“Kadang kadang saya pelik, dia duduk dalam bilik cakap macam ada orang lain dalam bilik dia tapi sebenarnya melalui FaceTime. Saya pun biar saja. Memang dengar butiran perbincangan mereka itu tentang pelajaran, jadi saya tak kisahlah,” kata Annuar Mohd Saad, bapa Sofea Irdenna.

Bagi Rogayah Hasan pula, penggunaan FaceTime banyak membantu pembelajaran anaknya. “Berbanding generasi abangnya dulu, hanya bergantung kepada tuisyen. Tuisyen dia pun tak banyak pergi, tapi dia banyak luangkan masa dalam bilik berbincang dengan kawan-kawan,” kata Rogayah.

Sumber: Awani