Pelakon terkenal Erra Fazira akan menunaikan rukun Islam kelima, mengerjakan haji di tanah suci Makkah pada awal Ogos ini. Erra Fazira akui, dia berasa gementar kerana bakal menunaikan ibadah itu bersendirian tanpa mahram.

“Saya akan berangkat menunaikan haji pada awal Ogos dan sebenarnya sudah lima tahun saya menyimpan hasrat ini.

“Ada beberapa syarat yang patut saya patuhi dan sekarang adalah masa yang sesuai, usia pun sudah layak dan Alhamdulillah saya dipanggil ke sana.

“Sejujurnya saya gementar tetapi sangat teruja dan sudah tidak sabar. Itu perkara baik dan perjalanan ini antara saya dan Tuhan, semoga ia dipermudahkan,” katanya kepada Gempak.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran Aliff Syukri Legacy Cosmetics di Menara Mustapha Kamal, dia memaklumkan dia turut melengkapkan diri dengan ilmu agama dengan menghadiri kelas dan bertanyakan individu yang pernah mengerjakan haji sebelum ini.

Selain daripada itu, Erra Fazira dilantik sebagai duta kepada produk terbaharu keluaran usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri.

Sumber: Awani