Seorang wanita berusia 28 tahun cedera di muka dan tangan berikutan ditikam oleh bekas suami menggunakan pemutar skru di sebuah kedai makan di Pantai Air Tawar, Jertih, Terengganu, semalam.

Difahamkan, punca mangsa ditikam semasa sedang bekerja di kedai makan tersebut adalah kerana mangsa tidak mahu rujuk kembali bersama suspek yang berusia 31 tahun itu.

“Suspek datang ke kedai itu untuk rujuk semula dengan mangsa, tetapi hasratnya itu ditolak dan suspek terus bertindak menikam mangsa menggunakan pemutar skru di bahagian muka dan tangan mangsa,” ujar Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi.

Menurutnya, mangsa cedera di bahagian bawah mata kanan, luka di kedua-dua tangan serta cedera di kening kiri sebelum dihantar orang ramai ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut.

“Majikan mangsa menerima panggilan pada pukul 4.35 petang memaklumkan pekerjanya ditikam lalu membuat laporan polis pukul 4.54 petang,” katanya.

sinarharian.com.my

“Suspek yang juga seorang nelayan beralamat Kuala Besut kemudian berjaya ditahan sekitar pukul 5.20 petang di tepi Jalan Cawat, Kuala Besut, Terengganu,” tambahnya.

“Kita turut merampas barang kes seperti sebatang pemutar skru, kunci motosikal dan sebuah motosikal jenis Yahama. Ujian saringan air kencing suspek negatif dan tiada rekod kesalahan lampau,” jelasnya.

Difahamkan, kes disiasat mengikut seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Sebelum ini, suspek dan mangsa pernah berkahwin pada November 2014 dan bercerai pada Julai 2017 serta mempunyai seorang anak perempuan berusia empat tahun.

Sumber: Harian Metro