Dalam masa seminggu, sebanyak empat masjid dibakar dalam tempoh tersebut di Kedah termasuklah di Masjid Pendang, Masjid Sungai Rambai serta di Masjid Tok Keling, Jalan Alor Mengkudu, Alor Setar, dan terbaru di Kampung Padang Setol, Pedu, Padang Terap, awal pagi tadi.

Untuk pengetahuan anda, sebahagian mimbar dan permaidani masjid yang terbakar itu dipercayai ada unsur perbuatan khianat.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, polis menerima panggilan orang ramai mengenai kebakaran itu pada pukul 8.01 pagi.

“Papan kenyataan digital(screen slide) yang diletakkan di bahagian atas dinding juga turut terbakar. Kita percaya kebakaran itu bermula dari mimbar,” ujarnya.

Difahamkan, kejadian berlaku disedari oleh jemaah masjid yang datang paling awal di masjid tersebut.

Menurutnya, jemaah berkenaan sampai di masjid sekitar pukul 5.40 pagi dan mendapati kawasan mimbar telah terbakar.

“Pemeriksaan dilakukan mendapati bahagian permaidani mempunyai kesan terbakar. Masjid ditinggalkan dalam keadaan pintu tertutup tetapi tidak dikunci dan lampu semua dipadamkan,” jelasnya.

Selain itu, punca kebakaran masih belum diperolehi daripada Bahagian Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Kedah.

Malah, masjid berkenaan juga tidak dilengkapi dengan kamera rakaman litar tertutup(CCTV).

“Setakat ini tiada saksi melihat kejadian dan tiada barang berharga lain hilang. Forensik JBPM dan PDRM dipanggil untuk membantu siasatan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Setakat ini, belum ada tangkapan dilakukan oleh pihak polis dan siasatan juga sedang dijalankan bagi mengenalpasti jika ada unsur khianat.

Sumber: Harian Metro