Seperti yang kita tahu, Raya Haji semakin hampir tiba. Menunaikan haji adalah rukun Islam kelima dan ianya dikerjakan hanya di sekitar tanah suci Mekah serta masanya hanya dari 9 hingga 13 Zulhijah. Menunaikan ibadah haji dan menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah adalah impian setiap umat Islam.

Seperti juga empat beradik bertuah ini, mereka bukan sahaja dapat menunaikan haji secara serentak pada tahun ini bahkan pada usia yang masih muda. Adik-beradik itu terdiri daripada Muhammad Hasif, 26, Imran Harith, 25, Nur Hanisah, 23, dan Ahmad Hazim, 19. Mereka sebenarnya sudah mendaftar tabung haji semenjak masing-masing berusia setahun lagi.

Menurut bapa mereka, Dr Noor Hassan Yahaya, 53, dia dan isteri, mereka sudah membuat persedian awal membuka akaun simpanan Tabung Haji masing-masing sebagai persediaan menunaikan haji.

“Sejak mereka berusia setahun, saya dan isteri Norlida Hassanal Bashry, 54, sudah membuka akaun simpanan TH masing-masing sebagai persediaan awal ke Tanah Suci.

“Duit raya yang mereka dapat sejak zaman kanak-kanak akan kami simpan dalam TH selain duit yang saya simpan untuk mereka,” katanya seperti yang dilapor Harian Metro.

Ini merupakan kali pertama keempat beradik itu menunaikan haji manakala Dr Noor Hassan dan isterinya telah pun menjejakkan kaki ke Tanah Suci pada tahun 2009. Abang sulung iaitu Muhammad Hasif berkata, dia akan menjaga adik beradik seperti diamanahkan mak dan ayah.

“Apa yang berlaku adalah tanggungjawab saya sebagai abang sulung. Insya-Allah, saya tidak akan mensia-siakan amanah diberikan,” katanya.

Empat adik-beradik itu telah membuat persediaan awal seperti mengikuti kursus haji sejak beberapa bulan lalu termasuk Kursus Perdana Haji di Johor Bahru.

“Alhamdulillah, semoga urusan kami dipermudahkan untuk menjalani ibadah dan membantu jemaah lain terutama warga emas yang uzur,” ujarnya Muhammad Hasif.

Sumber: SAYS