Setiap minggu kita dapat lihat rakyat Malaysia akan mengambil peluang ini untuk “memburu” durian bersama keluarga, malah ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk menikmati durian pada harga murah.

Bayangkan tidak sampai 15 minit lori durian sampai di gerai, orang ramai telah memborong semua durian berharga serendah RM1 sebiji hingga habis licin di Kulim, Kedah.

Gambar sekadar hiasan

Penjual durian murah tersebut, Aizawati Abdul Latib, 34 tahun, memberitahu gerai durian miliknya di Taman Mutiara, Sungai Kob, menjadi tular dalam laman sosial sejak beberapa hari lepas ekoran harga dijual begitu murah hingga permintaan raja buah itu semakin bertambah.

“Kami jual RM1 sebiji sebab buahnya jenis durian kampung yang bersaiz kecil, namun isinya tetap baik dan sedap serta dalam masa sama, mahu semua orang termasuk yang agak tidak berkemampuan dapat merasa durian yang baik,” ujarnya.

Gambar sekadar hiasan

Menurutnya, orang berebut membeli durian kerana stok yang terhad terutama durian RM1 kerana ia bergantung kepada stok pembekal dari Balik Pulau, Pulau Pinang.

Setiap hari, Aizawati menjual sekurang-kurangnya empat bakul besar dalam anggaran 70 biji durian setiap bakul, termasuk durian jenis lain yang dijual sekitar RM3 hingga RM35 sekilogram.

“Antaranya ialah D14 (RM12 sekilogram), D15 (RM18 sekilogram), Kacang Hijau (RM18 sekilogram) dan Kimpo (RM35 sekilogram) manakala durian kampung pula dijual antara RM3 hingga RM10 sekilogram,” jelasnya.

Selain itu, dia juga memberi jaminan kepada pelanggan untuk menukar durian baru sekiranya buah yang dibeli tidak elok, di samping turut menyediakan perkhidmatan mengopek durian untuk disimpan ke dalam bekas plastik bagi memudahkan pelanggan membawa balik isi durian.

Sumber: Astro Awani