Penyanyi Alif Satar sememangnya tidak menyangka lagu Sesungguhnya 2019 yang dirakam bersama penyanyi asalnya, Raihan, telah mendapat sokongan hebat daripada penggemar seni muzik. Malah, lagu ciptaan sepenuhnya oleh bekas vokalis kumpulan nasyid, Nazrie Johanie, turut menarik perhatian peminat bukan Islam.

Video rasmi lagi itu yang telah dikongsi di YouTube pada 9 Mei lal sudah ditonton hampir 4 juta kali dan berada pada kedudukan pertama dalam carta sohor.

“Saya sendiri tidak menyangka lagu yang pernah dimuatkan dalam album Puji-Pujian ini akan turut digemari kelompok peminat bukan Islam. Saya jadi takjub dan kagum apabila melihat serta membaca komen positif mereka terhadap lagu duet kami.

“Jujurnya, saya masih terasa seperti bermimpi apabila berpeluang merakamkan lagu secara duet dengan legenda nasyid itu. Sememangnya, Raihan adalah kumpulan yang saya cukup kagumi sejak kecil.

“Siapa sangka, daripada ajakan secara suka-suka, ia akhirnya menjadi kenyataan. Semuanya bagai tersusun dengan begitu cantik,” kata Alif yang dikenali daripada pertandingan One in a Million ini.

Tambah Alif lagi, setiap artis pasti akan berasa teruja apabila dapat bergabung dengan kumpulan yang mencatat jualan album tertinggi di negara ini pada suatu masa dahulu dan dianggap sebagai ‘rockstar’ dalam industri nasyid.

“Ia bukanlah sebuah eksperimen, tetapi saya sebaliknya ingin mencabar diri untuk menyanyikan pelbagai genre lagu, termasuk nasyid. Selain pop, jazz dan R&B, saya juga kini berjinak-jinak merakamkan semula lagu dendangan pelbagai artis di YouTube.

“Percubaan merakamkan Sesungguhnya 2019 ini juga bukan bermaksud saya sudah berubah. Cuma, dalam hidup ini, saya sentiasa cuba memperbaiki kelemahan diri. Saya sendiri bukanlah alim sangat, namun cuba menjadi lebih baik daripada sebelum ini.

“Pada masa sama, siapa tahu, usaha duet ini akan membuka mata penyanyi generasi baharu atau ‘budak baru nak up’ (BBNU) untuk mendengar lagu nasyid mereka yang cukup hebat pengisiannya,” kata Alif yang terbabit dengan sebuah program amal bersama Raihan di Putrajaya, petang ini.

Sumber: BH Online