Pada minggu lepas, kita dikejutkan dengan kejadian tiga kes samun dan cubaan samun oleh sekumpulan lelaki menaiki motosikal bersenjatakan parang.

Kes pertama dilaporkan berlaku pada 21 Februari pukul 2.15 petang di mana mangsa lelaki yang meletakkan kereta di luar rumahnya di Jalan Sri Sarawak, Taman Sri Andalas, Klang, didatangi enam lelaki menaiki motosikal mengacukan parang sebelum melarikan wang tunai RM5,000, buku cek, barang kemas RM2,000 dan telefon bimbit.

utusan.com.my

Tak lama selepas itu, seorang wanita pula disamun ketika berada di depan rumahnya di Lorong Lengkongan, Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang, oleh lapan lelaki bersenjatakan parang menaiki empat motosikal jenis Yamaha 125Z.

Pada jam 4.05 petang, lelaki yang mahu keluar dari rumahnya di Bukit Kuchai, Bandar Kinrara, cuba disamun tujuh lelaki menaiki empat motosikal yang sebelum itu berlegar-legar di sekitar kawasan rumahnya.

Walau bagaimanapun, mereka gagal menyamun mangsa kerana dia sempat masuk ke dalam rumah semasa kejadian tersebut berlaku.

Berikutan itu, pihak polis berjaya menangkap dua lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes jenayah bermotosikal di sekitar Selangor.

kosmo.com.my

Namun, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, tidak mendedahkan tarikh dan lokasi tangkapan dibuat oleh mereka kerana mahu mengesan baki suspek lain yang terbabit dengan kegiatan jenayah berkenaan.

“Satu pasukan khas sudah ditubuhkan bagi menangani kes jenayah sekumpulan lelaki bermotosikal yang melakukan samun seperti tular di media sosial baru-baru ini,” ujarnya.

“Dua lelaki itu sudah ditahan buat masa ini dan siasatan sedang dijalankan mengenai pembabitan mereka dalam kegiatan jenayah terbabit,” jelasnya.

Pihak polis meminta bantuan orang awam agar dapat memberi maklumat dan kerjasama bagi membantu mereka mengesan baki kumpulan penjenayah itu.

Sumber: Harian Metro