Gempa bumi berukuran 5.8 skala Richter yang menggegarkan Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada 2.07 petang waktu tempatan, semalam, telah mengorbankan dua orang rakyat Malaysia yang berada di sana.

hmetro.com.my

Seorang rakyat Malaysia dikenali sebagai Lim Sai Wah manakala seorang lagi merupakan Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily Datin Tai Siew Kim.

“Dua orang warganegara Malaysia meninggal dunia akibat gempa bumi di Lombok Timur semalam. Tujuh orang yang mengalami kecederaan sedang menerima rawatan di hospital manakala 13 orang terselamat,” ujar Timbalan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Zamshari Shaharan.

Difahamkan, mereka semuanya adalah sekumpulan 22 rakyat Malaysia yang berada di Air Terjun Tiu Kelep Senaru, Lombok Utara, ketika kejadian itu berlaku.

“Warganegara Malaysia lain yang berada di Lombok atau kawasan sekitar yang terkesan susulan gempa bumi ini boleh menghubungi pegawai bertugas Kedutaan Besar Malaysia di talian +62 813 80813036,” sambungnya.

Selain itu, rakyat Malaysia yang berada di Lombok dinasihatkan sentiasa tenang dan mematuhi arahan pihak berkuasa di sana.

Jika ada rakyat Malaysia yang berada di Indonesia atau mahu ke sana dalam masa terdekat, anda dinasihatkan untuk mendaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta atau menghubungi talian +62 813 8081 3036 atau emel mwjakarta@kln.gov.my.

Sumber: Astro Awani & Bernama