Kes sardin dalam tin yang tercemar dengan cacing sebelum ini nyata membuka mata ramai pihak hinggakan ada yang berhenti makan sardin kerana takut termakan cacing.

Baru-baru ini, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) memberi kenyataan bahawa pihaknya telah menahan dua kontena berisi tin sardin dipercayai mengandungi cacing pada 14 Mei lalu.

Sardin dalam tin jenama Ranesa dibawa masuk dari China melalui pintu masuk North Butterworth Container Terminal (NBCT) Pulau Pinang dengan anggaran berat 36,720 kilogram dan bernilai RM199,797.24.

Gambar sekadar hiasan

Hasil pemeriksaan dan persampelan, mereka menemui cacing dalam beberapa sampel tin sardin yang diperiksa.

“Cacing tersebut kemungkinan daripada Genus Anisakis spp yang boleh menyebabkan penyakit anisakiasis pada manusia,” ujarnya.

Untuk pengetahuan anda, Anisakiasis adalah penyakit parasit dan zoonotik bawaan ikan yang disebabkan oleh nematode Anisakis spp (cacing) yang menyerang sistem gastrointestinal (seperti perut dan usus) manusia dan boleh menyebabkan masalah atau simptom gastrointestinal seperti sakit perut, cirit-birit, loya dan muntah.

Gambar sekadar hiasan

“Penyakit ini biasanya berlaku apabila manusia memakan makanan laut seperti ikan yang mentah atau tidak dimasak sepenuhnya yang dijangkiti parasit Anisakis spp,” tulis kenyataan tersebut.

Perbuatan mengimport apa-apa jenis tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih atau mikroorganisma dengan perosak, penyakit atau bahan cemar merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

“Walaupun permit import diberikan, pengimport perlulah mematuhi bahawa ikan sardin yang diimport mestilah bersih dan selamat dimakan oleh rakyat Malaysia,” jelasnya.

Berikutan itu, kes ini akan disiasat untuk tindakan selanjutnya. Difahamkan, pihak Maqis akan giat menjalankan pemeriksaan ikan sardin dan mackerel dalam tin yang diimport di seluruh pintu masuk negara bagi memastikan isu ini tidak akan berulang lagi.

Sumber: mStar