Baru-baru ini telah viral klip video terbaru dari kumpulan Drama Band yang dikatakan berkait rapat dengan gossip-gossip semasa. Vokalis kumpulan Drama Band, Aepul Roza, memohon maaf kepada pihak yang terasa hati dengan jalan cerita dipaparkan dalam muzik video lagu terbaru mereka, Drama.

Menurut Aepul, Drama Band tidak berniat untuk menyindir mana-mana rakan selebriti, sebaliknya menegaskan jalan cerita dalam muzik video itu adalah rekaan semata-mata.

Gambar: Hype MY

“Kalau ada yang terasa hati, kami minta maaf. Niat kami hanya untuk menyampaikan cerita, namun peminat beranggapan ia berkait rapat dengan kontroversi yang pernah melanda industri hiburan.

“Kami tahu ramai yang kurang senang dengan paparan dalam klip video ini. Saya ingin tegaskan lagi, kami tidak menggunakan isu kontroversi sebagai modal untuk mempromosikan lagu ini,” katanya.

Muzik video lagu itu telah disiarkan pada 15 Februari lalu dan semenjak itu, Drama Band “diserang” netizen yang mempertikai jalan cerita dipaparkan seperti mempersenda beberapa selebriti yang pernah berdepan kontroversi.

Muzik video itu mendapat perhatian bekas juara Dewi Remaja 2018/2019, Haneesya Hanee dan penyanyi, Haqiem Rusli yang mengakui, terkesan dengan babak dipaparkan.

Terdapat segelintir netizen yang mengecam tindakan kumpulan itu yang dikatakan seperti sengaja menangguk di air keruh untuk meraih publisiti murahan dengan menggunakan kontroversi artis lain.

Aepul menjelaskan tentang maksud sebenar muzik video tersebut. Menurutnya, jika diamati secara teliti, muzik video itu mempunyai mesej tersendiri menerusi karakter badut yang cuba menutup keburukannya dengan menggunakan watak sensasi di sekelilingnya.

“Orang tidak sedar keburukannya kerana terlalu memberi fokus kepada ‘gangguan’ iaitu isu panas yang diperkatakan. Masyarakat tidak nampak peranan badut itu yang cuba mengelirukan kerana lebih tertumpu kepada kisah sensasi,” katanya.

“Biarpun dikecam, ramai yang memberikan komen, mereka suka dengan lagu itu. Tidak kurang yang menyifatkan, mesej lagu kami menarik, cuma tidak selesa dengan konsep muzik video. Tidak mengapa, kami terbuka dengan kritikan,” katanya.

Sumber: BH Online