Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan sedang menjalani kuarantin kendiri di rumahnya.

Perkara itu disahkan seorang pegawai kanan daripada Unit Komunikasi Korporat (UKM) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Difahamkan, pegawai berkenaan turut memaklumkan Dr Noor Hisham tidak akan menghadiri sidang media di Putrajaya pada pukul 5.30 petang ini.

“Untuk makluman, DG (Ketua Pengarah) sedang kuarantin kendiri. Facebook (FB) KKM akan siarkan PC (sidang media) DG (Ketua Pengarah) secara langsung jam 5.30 petang dari rumah beliau tanpa kehadiran media,” ujarnya.

“Sebutkan nama dan media. DG akan menjawab soalan-soalan yang bertepatan,” jelas.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, disahkan positif Covid19 dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Berikutan itu, kesemua individu yang hadir dalam mesyuarat berkenaan termasuklah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengikut peraturan KKM menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di rumah.

Sumber: Harian Metro