Dulu dia dikenali di seluruh negara dengan memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) yang membanggakan iaitu 17A1.

Kini, nama Dr Amalina Che Bakri menjadi sebutan rakyat Malaysia sekali lagi kerana usahanya mahu membantu merawat adik Ainul Mardhiah, sembilan bulan, yang menghidap Germ Cell Tumor.

Berikutan kejayaan pembedahan adik Ainul pada minggu lepas, ibu kepada Dr Amalina, Sabariah Hassan, berkongsi perasaan terharu atas usaha anak tunggalnya itu.

“Saya sebak sampai menangis kerana bersyukur Amalina mempunyai nilai insaniah yang sangat tinggi. Saya terbayang keadaan Ainul sebelum pembedahan menerusi gambar-gambar dan melihat kesakitan yang dialaminya di depan mata sendiri semasa saya berada di London baru-baru ini,” jelasnya.

Selain itu, Sabariah turut berkongsi bahawa Amalina begitu teruja apabila adik Ainul dapat dibawa ke London dengan bantuan dan kerjasama pelbagai pihak.

Difahamkan, Dr Amalina begitu ikhlas membantu adik Ainul tanpa mengharapkan pujian dan juga bukan mahu membersihkan namanya yang sering dikritik terutama mengenai penampilannya.

“Amalina sangat teruja sampai hilang rasa penatnya. Dia bersyukur sebab segalanya dipermudahkan dengan kerjasama semua pihak,” ujar Sabariah.

“Amalina buat dengan ikhlas, bukan untuk dipuji dan bukan juga untuk cover segala kritikan dan tohmahan terhadapnya selama ini. Dia masih Amalina yang dulu,” jelasnya.

Berkongsi pengalaman beraya di London bersama anak tersayang, Sabariah memberitahu dia berkesempatan untuk sama-sama beraya bersama ibu bapa Ainul, malah dapat menjamu mereka makan dengan masakannya sendiri iaitu ayam masak merah dan nasi tomato.

Di samping itu, Sabariah turut menegaskan bahawa dia dan anaknya tidak mempedulikan tohmahan warga laman sosial mengenai penampilan terbaru Dr Amalina. Menurutnya, Dr Amalina begitu sibuk dengan kerjayanya daripada mahu melayan kata-kata netizen.

Sumber: mStar