Minggu lalu, banyak portal berita di seluruh dunia membuat liputan mengenai sebuah kelab malam ‘halal’ di Jeddah, Arab Saudi.

Difahamkan, premis hiburan yang digelar ‘Disko Halal’ oleh orang ramai itu dikatakan membenarkan golongan lelaki dan wanita bercampur serta menari bersama dalam satu ruangan, di samping menyajikan minuman tanpa alkohol.

Walau bagaimanapun, pemerintah Arab Saudi mengambil tindakan menutup kelab bernama Project X itu pada hari pertama pembukaannya pada Khamis lalu.

Bukan itu saja, Pihak Berkuasa Hiburan Umum(GEA) juga telah membuat pemeriksaan menyeluruh dan wakil pihak berkuasa memaklumkan, penutupan pusat hiburan itu adalah kerana ia tidak mempunyai permit operasi.

“Berdasarkan maklumat yang kami terima, pihak pengurusan telah melanggar undang-undang dengan tidak mendapatkan izin operasi dari pihak berkuasa,” kata kenyataan tersebut.

Pada awalnya, pihak pengurusan pusat itu mendapat permit untuk menjalankan ‘sesuatu yang lain’, namun akhirnya menyalahgunakan permit yang diberikan.

Walaupun kebanyakan media antarabangsa menggunakan ayat ‘Disko Halal’ dalam laporan mereka, media Arab Saudi pula menyatakan bahawa ia sebenarnya merupakan sebuah kafe mewah yang lengkap dengan pelbagai elemen persembahan hiburan aras tinggi.

Namun, elemen hiburan itu dikatakan tidak mengikut spesifikasi permit yang sudah diluluskan.

Malah, keinginan untuk menyaksikan sendiri suasana sebenar pusat itu telah mencetuskan sambutan yang menggalakkan sewaktu pembukaannya.

Pembukaan kelab itu juga dikatakan seiring dengan penganjuran sebuah festival pantai di Jeddah. Penyanyi terkenal Amerika Syarikat, Ne-Yo dikatakan akan membuat kemunculan.

“Saya tidak tahu apa terjadi. Saya sangat teruja untuk membuat persembahan untuk kalian, malah sedang dalam perjalanan ke sana, ketika saya menerima khabar tentang penutupannya,” tulis Ne-Yo di akaun Instagram miliknya.

Sumber: Astro Awani