Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, menyatakan kini rakyat boleh menikmati diskaun sebanyak 18 peratus secara purata di lebuhraya milik PLUS Malaysia Berhad mulai tahun depan.

Menurutnya dalam pembentangan Belanjawan 2020 semalam, penjimatan terhadap pengguna lebuhraya tersebut mencecah sehingga RM1,130 juta pada tahun 2020 manakala RM43 bilion penjimatan sepanjang baki tempoh konsesi sehingga 2038.

Selain itu, Guan Eng juga menyatakan pihak kerajaan masih berbincang mengenai semua cadangan termasuklah cadangan daripada Khazanah Nasional Berhad untuk mengambil alih atau melupuskan semua saham PLUS Malaysia Berhad.

“Cadangan yang diterima hendaklah memberi impak positif fiskal dan tidak meningkatkan beban hutang dan bayaran khidmat hutang kerajaan,” ujarnya.

Di samping itu, Kabinet turut meluluskan pengambilalihan empat lebuhraya sekitar Lembah Klang iaitu Lebuhraya Shah Alam(KESAS), Lebuhraya Damansara-Puchong(LDP), Lebuhraya Sprint(SPRINT) dan Terowong SMART(SMART).

freemalaysiatoday.com

“Konsesi sedia ada tidak akan dilanjutkan dan akan tamat mengikut perjanjian konsesi sedia ada. Pengambilalihan lebuh raya ini tidak akan membebankan kerajaan kerana kos pembiayaan, operasi dan penyelenggaraan,” jelasnya.

Bagi menampung kos berkenaan, caj kesesakan pada waktu sekitar puncak dan waktu biasa diturunkan sehingga 30 peratus berbanding dengan kadar tol semasa serta percuma semasa waktu bukan puncak.

“Ini akan menjimatkan pengguna lebuhraya sehingga RM180 juta setahun atau RM2 bilion sehingga akhir hayat konsesi,” katanya.

Sumber: Astro Awani