Tular di laman sosial Twitter akibat disaman Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana menjual air minuman di tepi jalan di Shah Alam, pelajar lelaki ini bakal mendapat bantuan daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Pelajar lelaki tersebut dikenali sebagai Azri dan rakannya, @iszlqrn, menjelaskan bahawa mereka sedang mencari rezeki untuk membiayai kos pengajian semester baru akan datang.

Malah, seorang warga emas turut memberikan kata-kata semangat kepada mereka berdua selepas disaman oleh pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selain mempersoalkan tindakan tersebut.

Difahamkan, tidak sampai setengah jam mereka berniaga, pihak MBSA bertindak menyaman mereka sebanyak RM300 sedangkan mereka baru saja mendapat jualan sebanyak RM75.

Berikutan itu, Amirudin mahu menolong kedua-dua pemuda tersebut dan menghubungi Azri untuk maklumat lanjut. Malah, mereka akan mendapat pertolongan untuk menjalankan perniagaan sekitar Shah Alam selepas ini.

Sumber: Twitter @iszlqrn & Malaysian Gazette