Mereka yang didapati bersalah mengeluar, mencetak atau menempa matawang Ringgit Malaysia tanpa kebenaran Bank Negara Malaysia(BNM) boleh didenda tidak lebih RM50 juta dan penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Gambar sekadar hiasan

Perkara tersebut antara peruntukan dalam Rang Undang-Undang(RUU) Mata Wang 2019 yang dibentangkan kali pertama oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ir Amiruddin Hamzah di depan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Yusof di Parlimen, hari ini.

Difahamkan, perbahasan RUU itu untuk bacaan kali kedua dijangka dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini yang berlangsung sehingga 5 Disember depan.

Gambar sekadar hiasan

Buat masa ini, perbuatan penyalinan atau pengeluaran semula mata wang kertas dan duit syiling Ringgit Malaysia tanpa kebenaran BNM boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000.

Antara peruntukan lain dalam RUU Mata Wang 2019 adalah tiada sesiapa pun boleh menggunakan sebarang gambar, lukisan atau reka bentuk yang menyerupai suatu mata wang kertas atau syiling dalam apa juga penerbitan dan dalam apa-apa saiz, skala atau warna tanpa diluluskan BNM.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000.

Sumber: Harian Metro & Bernama