Sebagai seorang anak, pastinya kita mahukan yang terbaik untuk ibu yang telah bersusah payah melahirkan dan membesarkan kita.

Seorang lelaki bernama Heitor Schiave, 43 tahun, mengambil keputusan berani apabila dia bertindak menyamar sebagai ibunya untuk mengambil ujian memandu di utara Brazil.

Difahamkan, dia memakai pakaian dan solekan menyerupai ibunya, Maria, namun helahnya terbongkar apabila penyamaran itu dikesan.

“Schiave cuba sedaya upaya menyamar menjadi ibunya. Dia memakai mekap yang tebal, mengenakan tata rias pada kukunya, memakai blaus bercorak bunga, serta barang kemas,” ujar cikgu memandu, Aline Mendoca, kepada BBC.

Schiave didakwa nekad mengambil keputusan itu selepas ibunya beberapa kali gagal dalam ujian memandu.

“Dia (Schiave) mengaku bukan wanita pada kad identiti, sebaliknya anak kepada Maria. (Tujuan dia melakukannya ialah) supaya ibunya lulus ujian berkenaan,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, Maria dilaporkan langsung tidak tahu mengenai rancangan anaknya itu.

Schiave ditahan pihak berkuasa atas dakwaan menyamar dan menyalahgunakan identiti selepas kejadian tersebut.

Sumber: Astro Awani