Korea Selatan merupakan salah satu destinasi pelancongan kegemaran pilihan rakyat Malaysia.

Ada yang amat menggemari makanan negara itu kerana rasanya yang unik, menarik dan pedas. Namun, percayakah anda dengan gerai makanan di sana yang meletakkan tanda ‘Halal’ di gerai mereka? Adakah ia betul-betul halal atau sekadar untuk menarik pelanggan beragama Islam sahaja?

Seorang YouTuber Korea beragama Islam, Daud Kim, berkongsi satu video mengenai status makanan halal di Myeong-dong Street, sebuah destinasi yang terkenal untuk membeli-belah serta makanan tempatan.

Walau bagaimanapun, apa yang menjadi persoalan bagi Daud adalah mengenai status halal makanan di situ kerana kawasan itu sering dipenuhi pelancong beragama Islam. Lebih mengejutkan, kebanyakan rakyat Korea tidak mengetahui apa maksud halal yang sebenar.

Dilihat terdapat beberapa kedai yang menampilkan logo halal namun mereka kelihatan tidak yakin dengan status halal tersebut sehinggakan menutup tanda ‘halal’ selepas ditanya oleh rakan Daud, Sena.

Di samping itu, terdapat juga beberapa peniaga yang memberi kerjasama dengan menjelaskan status makanan dijual sama ada halal atau tidak.

Menerusi perbualan telefon Daud bersama pengedar ayam yang membekalkan ayam kepada peniaga-peniaga di Myeong-dong Street, syarikat pengedar ayam itu memberitahu pihaknya tidak dapat mengesahkan jika semua ayam yang dibekalkan ke peniaga di lokasi pelancongan itu benar-benar berstatus halal.

Untuk pengetahuan anda, video berkenaan telah mendapat pelbagai respons daripada warga laman sosial di laman Facebook.

Ada yang berterima kasih dengan perkongsian yang dibuat oleh Daud dan rakannya.

Selain itu, terdapat juga rakyat Malaysia yang berkongsi tips mencari makanan halal semasa berada di Myeong-dong street.

Sumber: Astro Awani & FB Daud Kim