Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, telah menyertai acara berbasikal sejauh 72 kilometer (km) di Langkawi. Siti Nurhaliza mendedikasikan pingat acara berbasikal itu untuk puteri kesayangannya, Siti Aafiyah Khalid.

Walaupun mengalami kecederaan lutut sebelum memulakan kayuhan, misi menyempurnakan cabaran itu dapat diselesaikan dalam tempoh tiga jam 13 minit dan 30 saat.

Gambar: Harian Metro

“Alhamdulillah, medal (pingat) ini untuk anak ibu. Banyak kenangan untuk mendapatkan dan menghabiskan kayuhan 72 km. Mula-mula, ibu nak masuk 25 km, tetapi ahli pasukan yang lain kata alang-alang sampai Langkawi, mari kayuh 72 km.

“Sebelum ini, tak pernah lagi kayuh lebih 50 km, berangan nak buat 72 km. Berbekalkan semangat dan bantuan jurulatih @faizsyarifuddin (geng @anuarmanan86), saya kuatkan semangat.

“Pagi tadi, sebelum berlepas saya sudah ‘jatuh bodoh’. Macam mana boleh jatuh, padahal berhati-hati sangat. Tidak mengapa, tebalkan muka semangat punya pasal (sakit tau),” katanya lagi.

Gambar: Berita Harian

Penyanyi Comel Pipi Merah, lagu yang dibuat khas untuk Siti Aafiyah itu meluahkan kegembiraan dapat menghabiskan kayuhan di Instagram berserta gambar Aafiyah mengenakan pingat berkenaan.

Perkongsian berkenaan telah mendapat perhatian ramai netizen yang memuji semangat wanita terbabit, selain menganggap kejayaan itu menjadi inspirasi buat mereka kerana Siti Nurhaliza boleh dikatakan disayangi oleh semua rakyat Malaysia.

Gambar: Hijabista

Siti juga mendapat sokongan suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, dan Aafiyah yang sama-sama menyertai rombongan ke pulau legenda itu. Sambil berseloroh, Siti turut mengatakan perjalanan panjang yang dilalui pada hari itu seolah-olah membuatkan kakinya sudah tiada.

Aktiviti berbasikal telah menjadi minat pasangan ini, malah mereka sering menggunakan masa lapang untuk berbasikal di sekitar Hulu Langat dan Putrajaya. Selain RHB Langkawi Ride 2019, penyanyi berusia 40 tahun itu juga pernah menyahut beberapa cabaran berbasikal lain.

Sumber: Bharian