Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak berfikir dua kali untuk berkerjasama dengan penganjur untuk konsert tribute Pak Ngah. Pemergian Pak Ngah bukanlah sesuatu yang biasa, malah, ia pemergian yang masih dirasai sehingga kini.

Kebanyakkan rakyat Malaysia tahu bahawa lagu ciptaan Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau lebih mesra sebagai Pak Ngah menyumbang kepada kemegahan nama Siti Nurhaliza hingga ke hari ini. Persetujuan Siti dalam menjayakan konsert tribute Karya Agung Pak Ngah pada 14 dan 15 November ini di Istana Budaya adalah pernyataan rasa kasih Siti Nurhaliza kepada insan tersebut.

“Apabila diberitahu oleh Mak Ngah (isteri Pak Ngah) penganjur akan mengadakan konsert tribute buat arwah, saya tidak mengambil masa lama untuk bersetuju. Saya menyokong penuh untuk terlibat dalam konsert ini.

“Selain mengetengahkan lagu-lagu ciptaan Pak Ngah, ia lebih menarik apabila bakal diiringi Orkestra Tradisional Malaysia (OTM).

“Pak Ngah adalah guru saya dalam industri muzik. Arwah banyak mengajar saya terutama dalam menyanyikan lagu-lagu tradisional. Beliau juga orang pertama yang bertanggungjawab membawa saya selepas menjadi juara dalam pertandingan Hiburan Minggu Ini (HMI) pada 1995.

“Beliau orang pertama yang menegur dan mengkritik saya dalam nyanyian. Beliau bertanggungjawab menaikkan nama saya ke peringkat yang lebih tinggi melalui lagu-lagu ciptaannya.

“Saya masih ingat, waktu awal jadi penyanyi dulu saya perlu menyanyikan lagu artis-artis lain dalam studio. Apabila menyanyi lagu orang lain, saya bawa dengan lenggok sendiri berbeza dengan penyanyi asal,” kata figura ini yang begitu sinonim dengan lagu-lagu ciptaan Pak Ngah seperti Cindai, Balqis dan Ya Maulai.

“Beliau tegur, ‘kau ni sengaja nyanyi macam ini atau silap nyanyi?’

“Saya jawab, saya memang nyanyi dengan cara dan gaya lenggok tersendiri. Dia setuju dengan cara saya tersendiri.

“Cara ditegur itu mula-mula rasa takut juga, lama-kelamaan saya faham. Beliau memang seorang yang suka berterus-terang tetapi hatinya sangat baik,” kata Siti Nurhaliza sejurus selepas menjayakan Konsert Mini Shopee X SimplySiti di KLCC Convention Centre pada 14 September lalu.

“Sampai satu saat dan ketika, saya pun ada sesuatu yang saya pendam. Susah nak cakap dengan peminat. Kadang-kadang bukan semua perkara kita boleh kongsi.

“Dulu tidak ada media sosial seperti Twitter dan Instagram. Apa yang wartawan tulis itulah sahaja yang dibaca oleh peminat.

“Pada waktu itu, saya kadang-kadang susah nak meluahkan rasa. Cakap pun susah. Serba salah. Akhirnya saya luahkan dalam lirik lagu Biarlah Rahsia,” jelasnya yang menyanyikan lagu-lagu popularnya seperti Jerat Percintaan, Wajah Kekasih, Percayalah, Biarlah Rahsia dan Ku Mahu.

Dalam perkembangan lain, Siti Nurhaliza bakal menjayakan konsert di Festival Theatre, Adelaide, Australia pada 18 Oktober ini.

Sumber: Utusan