Terbaru, pihak kerajaan dijangka akan mengumumkan ‘darurat kesihatan’ berikutan peningkatan kes Covid19 naik mendadak dalam negara ini terutama di Sabah, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

Difahamkan, perkara itu dipertimbangkan selepas mendapat rayuan pengurusan tertinggi pasukan petugas barisan hadapan terutama Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dikatakan sudah mendapatkan pandangan daripada pihak berkenaan termasuk Pejabat Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia(PDRM), Angkatan Tentera Malaysia(ATM), Majlis Keselamatan Negara(MKN) dan KKM berhubung tindakan berkenaan.

Walau bagaimanapun, difahamkan darurat berkenaan bukan perintah berkurung dan orang ramai masih boleh membeli barangan keperluan seperti biasa dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Darurat kesihatan itu akan dilaksanakan selama enam bulan dan sidang Parlimen akan ditangguhkan buat sementara waktu.

Selain itu, spekulasi turut dikuatkan lagi dengan ketiadaan sidang media harian oleh Menteri Kanan(Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang biasanya diadakan pada pukul empat petang.

Malah, sidang media Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, juga tidak diadakan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan Mesyuarat Kabinet Khas di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya dipercayai bagi membincangkan isu-isu semasa, pagi tadi.

Dilihat beberapa kenderaan yang dinaiki menteri Kabinet memasuki Perdana Putra, termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Kenderaan yang membawa Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang turut dilihat memasuki Perdana Putra pada kira-kira pukul sembilan pagi. Mesyuarat itu dipercayai tamat sebelum pukul satu tengah hari.

Terbaru, Perdana Menteri dilihat meninggalkan Istana Abdulaziz, Indera Mahkota, kira-kira jam 7.10 malam tadi selepas tiba di istana berkenaan pada pukul 4.40 petang bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, lapor Astro Awani.

Sumber: Harian Metro