Laksa telur sarang amat popular di Ipoh, Perak, hingga ramai yang suka datang makan di Kafe Setinggan, Bandar Seri Botani, Ipoh, terutama pada hujung minggu.

Terbaru, tempat masak utama kafe itu yang terletak di sebuah kedai setingkat terbakar pada pukul dua petang semalam menyebabkan pemilik kafe kerugian sebanyak RM80,000.

Ketika kejadian, pemilik kafe, Azril Bidin, 37 tahun, dalam perjalanan ke kafe sebelum pekerjanya memberitahu kedainya terbakar akibat api memasak menyambar minyak hingga menyebabkan 80 peratus tempat memasak itu musnah.

“Ketika kejadian ada dua tukang masak saya berada di kedai dan sangat bersyukur kerana kejadian itu tidak membabitkan kemalangan jiwa,” ujarnya yang mengalami kerugian berpuluh ribu kerana hampir keseluruhan peralatan memasaknya musnah.

saji.my

Tambahnya, operasi kafe akan ditutup selama dua hari untuk memberinya masa membuat persiapan memasak di kedai lain sebelum beroperasi semula Sabtu ini.

Selain itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Perak, memberitahu bahawa api berjaya dikawal sepenuhnya sebelum operasi ditamatkan pada pukul 3.55 petang semalam.

“Kebakaran itu menyebabkan kedai itu terbakar 80 peratus, manakala kedai bersebelahan terbakar hanya lapan peratus dan anggota melakukan pemadaman di pintu hadapan serta belakang kedai berkenaan,” sambungnya.

Sumber: Harian Metro