Lagaknya bersahaja apabila membuat aksi berbahaya ‘wheelie’ dan ‘wekang’ sambil menuju ke masjid walaupun dipandang pelik oleh mereka yang melihatnya.

Tujuan utama Mohd Al-Amirul Ashshahid Mohd Saleh, 33 tahun, melakukan aksi tersebut adalah untuk mengajak anak-anak muda zaman sekarang mengimarah masjid.

Menurutnya, video itu dirakam rakannya pada Khamis lepas dan kemudian dimuatnaik ke akaun Instagram miliknya dua hari selepas itu.

“Kebiasaannya bila cakap bab agama, kalau kita guna cara biasa contohnya ajak-ajak pakai mulut saja, pasti tak jalan, malah hendak dapat 10,000 ‘views’ (tontonan) pun payah,” ujar Ahli Jawatankuasa Masjid Ar-Rahmah Kampung Sungai Buaya, Rawang, itu.

Tambah pemenang tempat ketiga Supermoto FIM Asia 2016 itu lagi, dia mengambil pendekatan berbeza untuk menarik minat anak muda terutama mat motor pergi ke masjid sepertinya.

“Saya mahu mat motor jangan lupa diri dalam sibuk dengan aktiviti masing-masing, mereka juga tidak harus lupa tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah,” jelas pemilik video milik itu yang tular hingga mendapat 300,000 tontonan.

“Alhamdulillah ramai menyokong usaha saya ini, namun ada juga sebilangan kecil mengecam, tetapi yang penting mesej yang dibawa itu dapat disampaikan kepada orang ramai,” katanya sambil menasihati orang ramai supaya tidak meniru lagak ngeri yang dilakukannya itu.

Sumber: Harian Metro