Selepas kenyataan media dikeluarkan oleh peguam Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengenai kehilangannya dari Hospital Ampang Puteri, semalam, Jamal masih lagi belum dapat dikesan oleh pihak polis sehingga sekarang.

Jamal didapati hilang semasa proses jaminan mahkamah di hospital tersebut kelmarin dan kehilangannya disedari oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin lebih kurang pukul 5.30 petang.

“Setakat ini (10 malam semalam), kami belum dapat mengesan kedudukan beliau (Jamal). Kita berharap dia tampil dan bekerjasama untuk menyelesaikan proses jaminan mahkamah ini,” ujar Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat.

Difahamkan, pihak polis sedang giat mencari Jamal untuk menyelesaikan proses dokumentasi tersebut. Untuk pengetahuan anda, Jamal didakwa atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, tahun lalu.

Walau bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan di depan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin dari Mahkamah Majistret Shah Alam.

Sumber: Sinar Harian