Pemergian orang tua pada waktu yang tidak disangka-sangka sememangnya amat menyedihkan kerana kita tidak bersedia untuk kehilangan mereka.

Anak bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman yang meninggal dunia akibat kanser darah pada Isnin lalu tampil meluahkan isi hatinya menerusi akaun Instagram miliknya.

Anak Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Tok Non, Nafiz Asyrani, 13 tahun, dilihat memuatnaik beberapa keping gambar allahyarham dan sekitar pengebumian ayahnya.

Nafiz memuatnaik gambar allahyarham Tok Non yang berbaju Melayu dengan ayat ‘Al fatihah for my father’. Orang ramai dilihat memberi komen di gambar tersebut dengan kata-kata semangat untuk Nafiz.

“Tipulah kalau tak sedih. Saya sudah tidak ada sesiapa sekarang. Ibu dan bapa sudah pergi buat selamanya,” luahnya.

Kini, Nafiz hanya mempunyai ibu tiri dan adik-beradik sahaja selepas kematian ibunya, Datin Shazarina Shamsuddin, beberapa tahun lepas.

Selain itu, dia turut berkongsi kenangan manis bersama allahyarham semasa mereka mengerjakan umrah Disember pada tahun lalu.

“Masa tu kaki saya lenguh kat sana, ayah sanggup dukung saya walaupun saya sudah berusia 13 tahun,” katanya.

Takziah diucapkan buat Nafiz sekeluarga dan semoga roh allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Sumber: mStar