Cuti semua anggota penyelamat dan pasukan pengurusan bencana pihak berkuasa tempatan dibekukan bermula November hingga Disember bagi menghadapi bencana banjir Monson Timur Laut. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat (JKTPBP) berkata arahan pembekuan itu sebagai persiapan semua pihak termasuk agensi yang mengguna dan menggerak aset.

Antara agensi terlibat ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Monsun Timur Laut bermula Sabtu lepas (27 Okt) dan akan berlanjutan sehingga Mac tahun hadapan, dan Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan empat hingga enam episod hujan lebat bermula November,” katanya.

Tambahnya, hujan lebat yang berterusan ketika Monsun Timur Laut boleh mengakibatkan bencana seperti banjir, tanah runtuh, hakisan pantai, dan jika hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan air pasang besar, maka risiko kejadian banjir dan bencana lain akan bertambah buruk.

Menurutnya, pada November hujan lebat diramalkan bermula di Kelantan dan utara Terengganu. Pada Disember pula, ia akan berlanjutan di selatan Terengganu, Pahang dan Johor manakala di Sabah dan Sarawak pada Januari tahun hadapan.

themalaysiantimes.com.my

Selain itu, kemungkinan fenomena air pasang besar akan berlaku di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sepanjang Monsun Timur Laut kali ini.

Di samping itu, amaran hujan Lebat Berterusan Peringkat Waspada (kuning) pada 29 Okt hingga 1 Nov telahpun dilkeluarkan bagi Kelantan, Terengganu pada Sabtu lepas.

“PDRM hendaklah bersiapsiaga untuk menghadapi situasi banjir dengan menggerakkan aset dan keanggotaan sedia ada iaitu 31,531 orang seluruh kontinjen di seluruh negara dan Ketua Polis Negeri hendaklah dalam keadaan bersedia sepenuhnya untuk mengetuai operasi,” tambahnya.

“Lima depoh, 165 stor bencana dan 581 pengkalan hadapan hendaklah selesai membuat penambahan stok serta siap sedia untuk berkhidmat. Kita mahu stok yang segar dan belum luput,” katanya.

Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga hendaklah membuat persiapan untuk pemindahan haiwan semasa banjir kerana negara pernah mengalami kerugian berjuta-juta ringgit melibatkan lembu, kerbau, kambing, ayam, khinzir dan rusa.

Jika anda mahu mendapatkan maklumat tepat dan terkini cuaca, anda boleh layari laman web Jabatan Meteorologi Malaysia di www.met.gov.my, aplikasi mobil MyCuaca, dan dalam laman media sosial seperti Facebook (malaysiamet) serta MMD Hotline talian 1-300-22-1638.

Sumber: Astro Awani