Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) membekukan cuti seramai 10,500 pegawai dan anggota bomba di seluruh negara sehingga Febuari tahun depan sebagai persediaan untuk menghadapi musim banjir yang telah bermula.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid, menjelaskan bahawa cuti pegawai dan anggota bomba yang bertugas di bahagian operasi telah mula dibekukan sejak September lalu dan akan diteruskan berikutan bencana banjir yang dilihat sudah pun bermula baru-baru ini.

“Sekarang ini tiga negeri sudah mengalami bencana banjir iaitu Terengganu, Kelantan dan Perak. Kita percaya bencana ini akan berterusan sehingga Febuari (tahun depan),” ujarnya.

Menurutnya, pembekuan cuti itu turut merangkumi anggota bomba di Sarawak dan Sabah walaupun ramai anggota bomba yang akan menyambut perayaan Krismas pada hujung bulan ini.

Tambahnya, dia meminta orang ramai seluruh negara agar sentiasa peka dengan segala peringatan, arahan dan nasihat yang diberikan agensi kecemasan terutama JBPM apabila berkaitan bencana alam.

Sumber: Astro Awani & Bernama