Sejak kebelakangan ini cuaca panas terik berlaku di beberapa kawasan di negeri Selangor dan ia dijangka berterusan sehingga pertengahan bulan depan, menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Fenomena ini berlaku akibat fasa monsun Barat Daya yang mendominasi keadaan cuaca negara sepanjang tempoh bulan Ogos hingga tengah bulan September.

Gambar sekadar hiasan

“Sepanjang Ogos, kebanyakan tempat di Semenanjung akan menerima hujan pada paras normal dengan jumlah 150mm hingga 250mm kecuali di beberapa tempat di Perak (tengah hingga selatan), Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka menerima hujan sedikit di bawah paras normal antara 100mm dan 150mm,” tulisnya.

“Namun hujan lebat, ribut petir berserta angin kencang boleh berlaku di kawasan perairan pantai barat Semenanjung Malaysia pada awal pagi berikutan pembentukan garis badai yang dikenali sebagai ‘Sumatras’,” sambungnya.

Kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia dijangka menerima jumlah hujan pada paras normal antara 150mm dan 250mm pada September nanti.

Walau bagaimanapun, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang serta beberapa kawasan di pedalaman Semenanjung Malaysia pula dijangka menerima hujan antara 250mm dan 350mm.

Manakala pada bulan Oktober nanti, fasa peralihan monsun diramalkan bermula dengan keadaan cuaca lembab dengan hujan dan ribut petir serta angin kencang dijangka berlaku pada lewat petang dan awal malam terutama di negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, pantai barat Sabah serta kawasan barat dan tengah Sarawak.

Beberapa tempat di Semenanjung seperti Kedah, Pulau Pinang, utara Perak, pedalaman Kelantan dan Pahang dijangka menerima taburan hujan melebihi paras normal 400mm.

Malah, hujan lebat dijangka turun di negeri pantai timur Semenanjung dan barat Sarawak bermula November hingga Mac 2019 akibat Monsun Timur Laut.

Sumber: Astro Awani