Fenomena cuaca panas yang sedang melanda bahagian barat Semenanjung dan Sabah dijangka berterusan hingga hujung Mac ini. Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata cuaca panas yang berlaku ketika ini adalah fenomena biasa yang melanda negara berikutan penghujung monsun timur laut.

“Lazimnya, ketika fasa akhir monsun timur laut ini, memang akan berlaku kenaikan suhu berikutan kekurangan hujan yang mana suhu yang dicatatkan sekarang adalah 34 hingga 36 darjah Celsius berbanding suhu biasa 32 hingga 34 darjah Celsius.

“Negeri di bahagian utara iaitu Perlis, Kedah dan di bahagian utara Perak mencatatkan suhu sehingga 37 darjah Celsius. Bagaimanapun, ia tidak berlaku setiap hari dan setakat ini kita tidak nampak (jangka) ia (suhu) akan sampai hingga 40 darjah Celsius di negeri-negeri berkenaan,” katanya.

Gamabar: Kilas Daerah

Menurut Dr Mohd Hisham, fenomena cuaca panas itu tidak berlaku di negeri-negeri pantai timur dan Sarawak. Tambahnya, taburan hujan yang dicatatkan di kebanyakan negeri berkenaan pada bulan ini adalah rendah berbanding bulan lain.

“Bulan Februari ini memang taburan hujan yang dicatatkan sangat rendah terutama di negeri utara yang mana ada tempat yang langsung tidak menerima hujan. Kebanyakan negeri di utara mencatatkan hujan di bawah 50 milimeter (mm) dengan bilangan hari hujan yang dicatatkan hanyalah lima hari sebulan.

“Stesen Meteorologi Chuping sudah 27 hari tidak merekodkan hujan. Biasanya hujan yang dicatatkan adalah purata 15 hari sebulan. Di Lembah Klang pula purata hujan yang dicatatkan bulan ini adalah 150mm berbanding 300mm pada bulan lain,” katanya.

Suhu tinggi berlaku sekitar jam 2 hingga 4 petang di Pantai Barat Semenanjung manakala di Sabah adalah sekitar jam 1 tengah hari hingga 3 petang.

“Bagaimanapun, cuaca panas ini dijangka berakhir pada pertengahan peralihan monsun iaitu sekitar hujung Mac hingga Mei kerana ketika peralihan monsun, kadar hujan dijangka meningkat dan suhu dijangka beransur menurun,” katanya.

Menurut Dr Mohd Hisham, fenomena EL Nino tidak memberi impak yang signifikan kepada cuaca negara ketika ini.

“Sekarang ini adalah proses pembentukan El Nino. Bagaimanapun, El Nino yang dijangka berlaku adalah agak lemah dan kebarangkalian terjadi adalah 65 peratus. Impaknya kepada negara tidak signifikan kecuali di Sabah kerana negeri itu terletak berhampiran dengan Lautan Pasifik yang mana El Nino berlaku berikutan pemanasan suhu di Lautan Pasifik,” katanya.

Sumber: BH Online