Sejak kebelakangan ini, cuaca di negara kita begitu panas hingga boleh menyebabkan sakit kepala jika terdedah kepada cahaya matahari pada jangka masa yang panjang.

Gambar sekadar hiasan

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan suhu di beberapa kawasan di negara ini akan terus meningkat pada bulan Mac nanti.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia, Jailan Simon, memberitahu bahawa antara Februari hingga pertengahan April merupakan penghujung monsun timur laut yang menyebabkan kadar hujan yang rendah.

Namun, suhu ekstrem seperti kejadian El Nino pada 2016 dijangkakan tidak akan berlaku walaupun negara kini mengalami cuaca panas.

Gambar sekadar hiasan

“Terdapat beberapa kawasan yang berada pada tahap kuning, dan ini adalah perkara biasa. Kita jangkakan pada bulan Mac nanti akan ada satu atau dua kawasan yang mungkin boleh mencapai tahap sederhana (jingga),” jelasnya.

Menurutnya, fenomena ini akan berlarutan sehingga pertengahan April dan hujan akan mulai turun pada peralihan monsun barat daya.

Difahamkan, beberapa kawasan berada pada tahap berjaga-jaga apabila merekodkan suhu di antara 35 dan 37 darjah Celcius. Walau bagaimanapun, MetMalaysia tidak menjangkakan suhu akan terus meningkat melebihi 37 darjah Celcius.

Sumber: Astro Awani