Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis, menjelaskan bahawa negara ini dijangka bakal mengalami cuaca panas dan kurang taburan hujan sehingga bulan Oktober depan.

Gambar sekadar hiasan

Menurutnya, selain Malaysia, negara jiran Singapura dan Sumatera, Indonesia dijangka turut mengalami cuaca yang sama.

“Kita jangka akan mengalami kekurangan taburan hujan dengan cuaca lebih panas dan kering…tahun ini tanpa fenomena El Nino dan La Nina sehingga Oktober,” katanya.

Mengulas mengenai Mesyuarat ke-21 Kumpulan Kerja Teknikal(TWG) dan Jawantankuasa Pemandu Peringkat Menteri Sub-Wilayah Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang berlangsung di Brunei, kelima-lima negara yang terlibat telah membentangkan tindakan yang diambil untuk menangani kejadian kebakaran dan jerebu di negara masing-masing.

“Antara maklumat tindakan yang dikongsi ialah menjalankan pemantauan cuaca dan titik panas secara berterusan, menguatkuasakan undang-undang dan mensiap-siagakan peralatan dan sumber tenaga manusia untuk sama-sama memantapkan pemadaman kebakaran,” jelasnya.

Mesyuarat tahunan yang melibatkan 4 negara Asean lain, iaitu Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand diadakan bagi memantau dan memperincikan langkah yang diambil dalam mengatasi jerebu merentasi sempadan itu.

Sumber: Free Malaysia Today