Minggu lalu, negara Bangladesh menarik semula larangan perhimpunan besar-besaran serta solat di masjid yang telah dibuat selama sebulan dan menggesa orang ramai untuk mematuhi garis panduan kesihatan yang ketat bagi mengelakkan penyebaran wabak Covid19.

Menurut Arab News, para jemaah perlu memakai topeng muka dan menjaga jarak satu meter antara satu sama lain ketika menunaikan solat.

Selain itu, pentadbir masjid turut diarahkan untuk menyahkuman di lantai sebelum solat, menanggalkan permaidani dan menyediakan kemudahan mencuci tangan dengan sabun atau pembersih tangan.

Difahamkan, orang tua dan kanak-kanak tidak dibenarkan masuk ke masjid, malah mereka juga dilarang mengatur makanan berbuka serta sahur di tempat mereka.

Pembantu Setiausaha untuk Kementerian Hal Ehwal Agama, Abdul Hamid Jomaddar, menjelaskan pemerintah melonggarkan sekatan itu kerana sentimen keagamaan umat Islam pada bulan Ramadan.

Walau bagaimanapun, dia memberi amaran agar pentadbir masjid harus memastikan panduan pemerintah dipatuhi dengan tepat.

“Kakitangan Yayasan Islam kami sedang berjaga-jaga di seluruh negara untuk memantau jika ada pelanggaran garis panduan kesihatan,” ujarnya.

Keputusan membuka semula masjid turut mencetuskan kebimbangan pakar kesihatan awam kerana kadar jangkitan Covid19 di Bangladesh masih meningkat.

Menurut pakar penyakit berjangkit di Dhaka, Profesor Benazir Ahmed, menyatakan bahawa terdapat lebih 250,000 masjid di Bangladesh dan seramai 25 juta jemaah berisiko dijangkiti virus berbahaya itu.

“Memandangkan jumlah jangkitan di negara ini tinggi, pemerintah perlu melanjutkan lockdown sehingga kes turun dan kemudiannya menarik balik sekatan di zon hijau yang tiada jangkitan,” jelasnya.

Awal bulan lalu, Bangladesh telah mengenakan langkah penjarakan sosial yang ketat termasuk melarang perhimpunan keagamaan dan solat jemaah di masjid di samping solat Jumaat hanya terhad kepada 12 orang sahaja. Malah, sekatan sama turut dikenakan untuk solat terawih.

Sumber: Sinar Harian