Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan(FAMA) menghalang kemasukan cili merah dari Vietnam ke negara ini kerana ia mengandungi kadar peratusan racun melebihi daripada kadar yang ditetapkan oleh kerajaan.

Pengerusi FAMA, Ishak Ismail, turut menyatakan pihaknya memandang serius kes ini kerana ia membabitkan racun yang boleh menjejaskan kesihatan.

Menurutnya, kawalan telah dilakukan di semua pintu masuk negara di samping memeriksa di semua 750 pasar tani seluruh negara.

“Kita sudah memaklumkan peniaga sayuran di semua pasar tani seluruh negara supaya tidak menjual cili merah Vietnam bagi mengelak barang jualan mereka dirampas,” ujarnya.

“Cili merah berkenaan dijual pada harga lebih rendah berbanding cili tempatan, namun ia membahayakan kesihatan pengguna,” jelasnya.

Gambar sekadar hiasan

Walaupun sekatan dilakukan terhadap cili merah Vietnam itu menyebabkan kekurang bekalan cili di pasaran tempatan, namun pihaknya telah mengambil tindakan untuk mengatasi kekurang bekalan cili merah tersebut.

“Untuk memastikan bekalan cili sentiasa mencukupi dan tidak terlalu bergantung kepada cili import saya berharap lebih ramai pekebun menanam cili secara komersial,” katanya.

“Saya difahamkan harga cili import itu antara RM12 hingga RM15 sekilogram, setiap kali tiba musim perayaan harganya meningkat dua hingga tiga kali ganda disebabkan permintaan tinggi dan bekalan tidak mencukupi,” tambahnya.

“FAMA akan membantu petani yang mengusahakan tanaman sayuran termasuk cili dengan cara memberi bantuan peralatan dan baja, mereka perlu mendaftar sebagai peserta ladang kontrak FAMA daerah dan negeri,” sambungnya.

Sumber: Harian Metro