Mempunyai pengalaman lebih 20 tahun, Chef Ismail Hamid, 48 tahun, merupakan salah seorang tukang masak yang akan menyediakan makanan kepada para jemaah dan petugas haji di Tanah Suci pada musim haji tahun ini.

hmetro.com.my

Menurutnya, dia akan dibantu oleh Chef Bakri Ahmad, 41 tahun, dan Chef Yusairi Mustafa, 40 tahun, untuk menyediakan makanan di ibu pejabat Tabung Haji(TH) di Bangunan Abraj Al-Janadriah, Mekah.

Tambahnya, peluang untuk berkhidmat bersama TH di Tanah Suci disifatkan sebagai satu nikmat yang dinanti-nantikan, terutamanya apabila dapat menyediakan makanan kepada petugas yang menjaga jemaah haji.

“Masih ingat lagi pada tahun 2008, saya masak untuk jemaah haji ketika kemuncak haji di Arafah dengan menggunakan dapur kayu arang sambil menyarung ihram kerana turut serta menjalankan ibadah wukuf,” ujarnya.

“Pengalaman seperti ini tidak ternilai kerana kita ingin memastikan para jemaah dapat makan dan mengalas perut supaya tidak mengganggu ibadah mereka,” katanya.

Dia juga menyatakan tugas dan ibadah dilaksanakan seiring dalam mencari keberkatan. Penyediaan masakan yang halal dan bersih dengan mematuhi peraturan standard operasi pengendalian penyediaan makanan yang ditetapkan oleh TH, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Arab Saudi juga merupakan satu ibadah.

“Saya amat bersyukur kerana dapat bekerja sambil beribadat. Bertugas di Tanah Suci ini adalah impian yang amat saya harapkan dan Alhamdulillah, pada tahun ini, dimakbulkan,” jelasnya.

Difahamkan, seramai 30,200 jemaah haji Malaysia akan mengerjakan Rukun Islam kelima itu tahun ini dengan kumpulan pertama dijangka tiba di Tanah Suci pada 4 Julai ini dan dibantu oleh 640 petugas daripada TH.

Sumber: Astro Awani & Bernama