Penangan minuman air boba atau ‘bubble tea’ di negara ini menjadi fenomena dengan adanya lambakan kedai yang menjual minuman popular itu di beberapa negeri.

Gambar sekadar hiasan

Walau bagaimanapun, Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS), mendapati masih terdapat banyak kedai minuman tersebut menggunakan bahan tanpa sijil halal.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIS, Wan Najmiah Wan Mohamad Ali, menjelaskan bahawa kebanyakan bahan untuk membuat minuman itu diimport dari Taiwan dan pemeriksaan mendapati ia tidak mempunyai logo halal.

Setakat ini, antara minuman ‘bubble tea‘ yang mempunyai sijil halal di Malaysia hanyalah Chatime, CoolBlog, dan Tealive sementara pengusaha lain masih gagal mengemukakan permohonan.

Gambar sekadar hiasan

Berikutan itu, pihaknya akan memantau premis-premis berkenaan kerana tindakan mereka mengelirukan pengguna khususnya beragama Islam.

“Pengguna kebanyakannya terpengaruh dengan persekitaran premis bersih, malah ada menggunakan tenaga pekerja wanita Islam bertudung bagi mengaburi mata pembeli,” ujarnya.

“Apabila minuman ‘bubble tea’ itu tular, orang ramai tidak berfikir panjang dan sanggup beratur panjang untuk mendapatkan minuman berkenaan,” jelasnya.

Gambar sekadar hiasan

“Mereka tidak selidik terlebih dahulu sama ada premis berkenaan mempunyai sijil halal atau sebaliknya,” katanya.

Difahamkan, Majlis Perbandaran Subang Jaya(MPSJ) amat prihatin mengenai isu status halal minuman trending itu mengambil inisiatif dengan berjumpa pemilik serta pengusaha premis berkenaan.

“Ia adalah inisiatif patut dipuji kerana saya dimaklumkan MPSJ menyedari terdapat premis menjual minuman ‘bubble tea’ yang laris di kawasan mereka,” tambahnya.

Gambar sekadar hiasan

“MPSJ turut prihatin dengan situasi orang Islam dengan menggalakkan pengusaha memiliki sijil halal dalam perniagaan makanan dan minuman masing-masing,” sambungnya lagi.

“Tindakan pengusaha mempamerkan sijil halal luar negara pada premis masing-masing adalah salah kerana ia bukan sijil dari Malaysia,” katanya.

Anda boleh membuat aduan jika mendapati premis ‘boba tea‘ mempamerkan sijil halal luar negera kerana ianya salah.

Sumber: Harian Metro