Jika kita makan di kedai makan terutama restoran mamak, kita seringkali didatangi oleh makcik atau pakcik menjual keropok dari meja ke meja.

Malah, pemandangan itu sudah biasa untuk mereka yang duduk di bandar Kuala Lumpur ini. Seorang pengguna Facebook berkongsi cerita yang bakal membuatkan anda mengubah persepsi terhadap makcik/pakcik yang menjual keropok.

Menurut Jai Huzaifah, dia didatangi oleh seorang makcik jual keropok ketika dia sedang minum teh tarik di sebuah restoran mamak NZ Curry House Wangsa Maju tetapi tidak membeli keropok dijual makcik tersebut.

“Ada 2 orang akak tengah beli. Tetiba rasa bersalah pulak aku tak beli keropok dengan makcik tadi. Mata aku perhati je makcik tu jalan dari meja ke meja. Semua tolak. Akak 2 orang tadi tu je yang beli,” tulisnya dalam nada serba salah.

Kemudian, dia bergerak ke kereta dan mencari petak parkir di belakang restoran mamak tadi. Kebetulan dia mendapat parkir betul-betul di depan khemah sebuah gerai dan terlihat makcik jual keropok tadi duduk di bawah khemah tersebut.

“Sekarang dah tengahari tapi makcik tu makan nasi lemak je. Makcik tu keluarkan sebungkus dan terus makan. Makan 2-3 suap, dia bungkus masuk plastik balik,” ujarnya yang tersentuh hati hingga mengalirkan air mata.

Selepas itu, dia keluar dari kereta dan memberi sedekah kepada makcik tersebut. Apa yang memeranjatkan, makcik itu juga memberi satu paket keropok kerana mahu bersedekah kepadanya.

Walaupun hidup dalam kesusahan, namun makcik itu tetap ikhlas memberi sedekah dan ia membuatkan Jai Huzaifah tersentuh hati dengan keikhlasannya.

“Janganlah berkira dengan orang yang macam ni. Mereka berniaga bukan untuk bermewah. Janganlah nak mintak diskaun bagai. Kalau boleh kita bayar lebih niat sedekah. Kalau tak berminat nak ambil barang kita hulurlah yang termampu dengan niat membantu,” katanya.

Sumber: Fb Jai Huzaifah