Sesetengah pihak membuat tanggapan konon usaha Shaheizy Sam untuk menurunkan berat badan selepas memiliki tubuh agak gempal sebelum ini, sebagai gimik. Dakwaan berkenaan dibuat apabila aktor terbabit bertindak melancarkan program menurunkan berat badan #20dayschallenge, baru-baru ini.

Artis berkenaan turut membuka penyertaan program itu kepada 33 peminat dan orang awam, yang akan diumumkan pada 26 Ogos ini. Sam turut berusaha menurunkan berat badannya kerana bakal terbabit dalam penggambaran filem, Polis Evo 3, tidak lama lagi.

“Semua ini bukan gimik seperti difikirkan sesetengah orang. Bagi saya, soal berat badan, sama ada kurus atau gemuk, berbalik kepada kesedaran diri.

“Pada satu ketika, saya sendiri tekun menjaga badan bagi menjayakan watak dalam filem. Ada masanya, seperti orang lain juga, saya mahu menikmati makanan tanpa rasa bersalah. Semuanya bergantung pada pilihan masing-masing,” katanya.

“Usaha menaikkan atau menurunkan berat bukan susah. Paling utama, kita kena ada semangat dan dedikasi untuk berbuat begitu. Jika betul caranya, ia menjadi proses yang mudah.

“Saya pernah menguruskan badan untuk watak dalam filem, Pinjamkan Hati, dan kembali ‘sado’ dalam Polis Evo.

“Cuma, kali ini, usaha saya itu lebih menyeronokkan kerana ia turut membabitkan penyertaan peminat dan orang awam, selama 20 hari cabaran berlangsung,” katanya.

Kata Sam lagi, sepanjang usaha mengurangkan berat badannya juga, dia banyak belajar mengenai kaedah pemakanan sihat dan diet sesuai untuk bentuk tubuh diingini.

Sumber: BH Online