Kemeriahan sambutan hari raya Aidiladha sebuah keluarga di Mesir bertukar tragis apabila seorang abang maut ditikam adik kandung dalam satu pertengkaran mengenai daging korban.

Gambar sekadar hiasan

Difahamkan, kejadian berlaku di wilayah Baheira itu juga menyebabkan kakak suspek cedera selepas cuba meleraikan pergaduhan tersebut.

Suspek memberitahu pihak pendakwa raya bahawa dia naik angin selepas mengetahui ahli keluarganya menerima agihan daging korban yang sepatutnya diberikan kepada golongan miskin.

Menurut laporan Al Masri Al Youm, sebelum ini suspek memberi amaran kepada ahli keluarganya supaya menolak agihan daging korban berkenaan namun mereka tidak mengendahkannya.

Suspek kemudian bertindak membuang daging korban tersebut sehingga mencetuskan pertengkaran dengan mangsa.

Dia bertidak menikam mangsa menggunakan sebilah pisau akibat gagal mengawal kemarahan. Suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan.

Sumber: Sinar Harian