Mulai 27 Jun depan, kawasan rekreasi terkenal, Bukit Broga, Semenyih, akan ditutup selama dua minggu daripada sebarang aktiviti pendakian berikutan berlakunya perlanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hulu Langat, Yusri Zakariah, menyatakan bahawa mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Selangor bersetuju menutup kawasan rekreasi berkenaan.

“Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor akan mengeluarkan arahan penutupan Bukit Broga mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 7)2020,” ujarnya.

“Agensi-agensi berkaitan juga diminta membuat hebahan dan pemantauan terhadap pematuhan SOP yang ditetapkan,” jelasnya.

Hujung minggu lalu, kawasan rekreasi itu dilaporkan ‘sesak’ selepas dikunjungi individu yang ingin berekreasi di kawasan berkenaan.

Difahamkan, Bukit Broga yang berada di bawah seliaan MPKJ itu tidak menempatkan pegawai secara khusus di kawasan berkenaan berikutan kawalan ke laluan masuk dilakukan pemilik tanah serta pengendali parkir.

Sumber: Harian Metro