“Saya memahami apa yang dilalui dan dirasai seorang ibu yang berusaha keras serta sanggup berkorban apa sahaja demi mendapatkan zuriat,” titah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, sempena sambutan Hari Keluarga Yayasan Fertiliti Tunku Azizah(TAFF) 2019 di Seri Kembangan, semalam.

sinarharian.com.my

“Bukan senang untuk seorang wanita menjalani rawatan kesuburan kerana mereka perlu kuat selain memerlukan banyak usaha dan pengorbanan wang ringgit,” ujarnya.

Menurut baginda, hanya Tuanku Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, saja yang tahu apa yang dilalui dan dirasai baginda sepanjang mereka berusaha mendapatkan zuriat.

Dengan nada sebak, Tunku Azizah berkata, rawatan mendapatkan anak bukanlah murah dan Baginda bersyukur kerana Sultan Abdullah sentiasa ada bersamanya selain menanggung segala perbelanjaan rawatan termasuk persenyawaan tabung uji(IVF).

“Hanya Tuanku yang tahu berapa kali saya menangis dan saya bersyukur kerana Tuanku sentiasa ada bersama ketika menjalani rawatan di beberapa negara. Tuanku, terima kasih banyak-banyak atas semua sokongan selama ini,” titah Baginda.

Untuk pengetahuan anda, Tuanku Azizah yang pernah mengalami keguguran sebanyak enam kali turut menjalani 16 kali rawatan kesuburan dalam usaha mendapatkan waris takhta negeri Pahang.

Baginda yang juga pengasas dan presiden seumur hidup TAFF mengakui bersyukur kerana tidak putus harapan selain tidak henti berdoa supaya dikurniakan zuriat yang ditunggu-tunggu.

“Enam keguguran yang saya alami tapi kalau sudah rezeki, Allah tetap akan beri. Apapun, anak-anak TAFF semua istimewa kerana sememangnya ditunggu-tunggu, jadi taatlah dan dengar cakap ibu bapa. Doakan TAFF supaya dapat terus menolong lebih ramai yang senasib,” jelasnya.

Selain itu, majlis sempena sambutan ulang tahun ke-15 penubuhan TAFF turut diserikan dengan keberangkatan Al-Sultan Abdullah.

Malah, puteri baginda, Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah turut hadir sama mengiringi Baginda.

Dalam majlis tersebut, Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan surat tawaran penajaan rawatan IVF kepada 60 pasangan bersempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong yang berlangsung baru-baru ini.

Sumber: Harian Metro