Pejabat Agama Islam daerah Kuantan, Pahang, tidak akan berkompromi terhadap pemilik premis makanan yang mengiklan dan promosi hidangan Ramadan tetapi tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia(SPHM).

Kadi daerah, Abdul Zaki Md Zain, menjelaskan bahawa premis makanan bukan pemegang SPHM yang menyediakan menu dan hidangan berbuka puasa tidak boleh membuat sebarang pengiklanan atau promosi yang mengandungi perbahasan halal.

Menurutnya, contoh promosi-promosi tersebut seperti bufet Ramadan, jom iftar, citarasa Ramadan, jom berbuka, selera Ramadan atau bahasa yang merujuk kepada makanan yang boleh dimakan oleh orang Islam untuk berbuka puasa.

“Jika sabit kesalahan, bagi pertubuhan perbadanan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 dan kesalahan yang berulang boleh didenda tidak melebihi RM500,000,” ujarnya.

Gambar sekadar hiasan

“Jika bukan pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya manakala kesalahan yang berulang, didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” jelasnya.

Tambahnya, berdasarkan operasi penguatkuasaan halal Bufet Ramadan pada Isnin lepas, dua premis makanan di Kuantan diarah menurunkan serta merta semua iklan dan promosi hidangan Ramadan kerana tidak memiliki SPHM.

Difahamkan, dua pemilik premis itu diberi amaran bertulis kerana didapati melakukan kesalahan berkaitan perakuan dan penandaan halal.

“Kesalahan dua premis itu dikesan hasil daripada operasi penguatkuasaan halal sempena Ramadan dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasa,” ujarnya.

Sumber: Harian Metro