Makanan tradisional yang berasal dari Pantai Timur ini sememangnya diminati ramai sejak dahulu lagi dan ada juga yang mahu membawanya bersama ketika mereka belajar atau bercuti di luar negara tetapi agak sukar kerana ia berbentuk cecair selain baunya yang agak kuat.

Inovasi daripada sekumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan (PPTSM) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perikanan Malaysia (FRIM) telah menghasilkan ‘Debudu’, iaitu budu dalam bentuk serbuk.

bernama.com

Ketua penyelidik, Dr Fisal Ahmad, memberitahu punca kaedah pembungkusan lama budu sukar untuk menembusi pasaran antarabangsa adalah kerana ia berbentuk cecair dan mempunyai bau yang kuat.

Menurutnya, inovasi terbaru itu mempunyai banyak kelebihan dan sesuai untuk tujuan komersil seperti lebih ringan, tahan lama, mudah dibawa, menjimatkan ruang dan kos serta kegunaan yang pelbagai.

“Pengguna hanya perlu melarutkan kembali serbuk budu ke dalam bekas menggunakan air kosong dan ia akan kembali seperti keadaan cecair asal tanpa ada perubahan warna serta rasa,” katanya.

kosmo.com.my

“Apa yang berlaku ialah larutan budu ditapis dan dicampur dengan maltodektri, iaitu sejenis bahan yang boleh mengekalkan perisa dan membantu pembentukan pepejal serbuk budu semasa proses pengeringan berlaku,” jelasnya mengenai teknik penghasilan budu serbuk.

Debudu pernah mendapat beberapa anugerah sebelum ini iaitu pingat perak pada Konvensyen Antarabangsa, Pameran Inovasi dan Teknologi (ITEX) 2009, pingat emas Pameran BioMalaysia KLCC dan tempat pertama Pertandingan Inovasi Kebangsaan Melalui Pameran 2018.

Tambahnya, produk tersebut sebenarnya dihasilkan pada 2009, tetapi usaha memasarkannya terhenti seketika kerana dia melanjutkan pelajaran ke luar negara manakala anggota yang lain sibuk dengan komitmen sebagai pensyarah dan sebagainya.

Debudu boleh didapati dalam tiga perisa iaitu perisa asli, perisa cili dan bawang serta perisa yang sesuai dimakan bersama daging burger dan makanan yang dipanggang atau dibakar.

Sumber: mStar