Biasanya kita makan bubur lambuk daging apabila tiba bulan Ramadan. Malah, bubur lambuk juga merupakan satu hidangan paling popular ketika bulan puasa.

Di Perak, terdapat satu masjid menyediakan bubur lambuk kambing yang menjadi kegemaran penduduk Ipoh iaitu di Masjid India Muslim, Jalan Seenivasagam, Ipoh.

Tukang masak bubur lambuk kambing, Mustafha Kamal Varisai Mohamad, 74 tahun, akan memasak hidangan wajib itu setiap kali Ramadan sejak 15 tahun lalu.

Menurutnya, dia bersama pembantu tukang masak, Jamal Muhamad Shaik Daud, 47 tahun, akan mula memasak sejak pukul 11 pagi selepas semua bahan masakan yang siap ditempah dihantar ke masjid itu setiap hari.

“Kos untuk membuat tujuh periuk bubur lambuk RM600 sehari dengan 80 kilogram (kg) beras digunakan setiap hari. Bagi setiap periuk, saya masukkan tiga kg daging kambing serta bahan lain seperti daun pudina, ketumbar, daun pandan dan bahan lain,” jelasnya.

Tambahnya, setiap tahun daging kambing digunakan sebagai tarikan istimewa bubur lambuk masakannya. dan diedarkan kepada 1,500 orang bermula 4.45 petang setiap hari.

Gambar sekadar hiasan

“Lebih daripada 75 peratus yang mengambil edaran bubur lambuk adalah orang Melayu dan mereka suka bubur lambuk kambing ini,” ujarnya.

Setiap kali Ramadan, dia bersama pembantunya sahaja memasak bubur lambuk itu di dapur yang terletak di bahagian belakang masjid.

“Setakat ini biarlah kami berdua saja yang memasak kerana terlalu ramai nanti dikhuatiri mempengaruhi rasa bubur lambuk itu,” katanya.

“Alhamdulillah pada usia begini saya masih lagi kuat untuk memasak malah akan terus memasak untuk masjid itu selagi khidmat saya diperlukan,” sambungnya.

Sumber: Harian Metro