Jika kita percaya kepada rezeki, pasti kita akan berjaya dalam melakukan sesuatu perkara. Itulah prinsip dipegang oleh seorang lelaki yang hanya bekerja sebagai penunggang Go-Jek tetapi mampu membuka sebuah pusat tahfiz sendiri di Bogor, Indonesia.

Pemilik Pusat Tahfiz Nurul Iman, Endang Irawan, menampung perbelanjaan pusat tahfiz dengan bekerja sebagai penunggang Go-Jek, iaitu sebuah aplikasi seperti Grab tetapi khusus untuk penunggang motosikal.

Menurutnya, dia mengusahakan pusat tahfiz itu sejak tahun 2002 yang lalu iaitu sebelum bekerja sebagai penunggang Go-Jek. Pada masa itu, dia hanya bekerja sebagai mekanik biasa tetapi mengambil keputusan untuk bekerja menjadi penunggang aplikasi tersebut kerana waktu bekerja yang agak fleksibel.

Kini, dia boleh memantau anak-anak murid serta anaknya sendiri setiap hari di samping dapat mengikuti perkembangan pusat tahfiz dengan lebih mudah.

Oleh kerana dia ikhlas tak pernah memilih penumpang yang mahu bergerak ke tempat dekat atau jauh, Endang selalu menerima duit tambahan daripada penumpangnya.

Tambahnya, dia tak sangka dapat menampung perbelanjaan kelengkapan 126 anak muridnya dengan hanya bekerja sebagai penunggang Go-Jek walaupun dia ada mengenakan sedikit bayaran bulanan kepada mereka yang mahu memasuki pusat tahfiz miliknya.

Walau bagaimanapun, dia juga memberi pendidikan dan kelengkapan percuma kepada pelajar yang berminat untuk belajar tetapi tidak berkemampuan.

Endang berjaya membuktikan bahawa rezeki akan datang jika kita berusaha dan ikhlas melakukan sesuatu pekerjaan.

Sumber: Kumparan